KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan seorang pengarah jabatan di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kerana disyaki terlibat dalam sindiket melindungi premis-premis perniagaan haram dan pusat perjudian.
Menurut sumber, penahanan ke atas pengarah berusia 59 tahun itu dibuat di Ibu Pejabat SPRM kira-kira pukul 10 pagi ini.
“Dia akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Datuk Ahmad Khusairi Yahaya, mengesahkan tangkapan ini tetapi enggan mengulas lanjut. – UTUSAN ONLINE