Penduduk Napoh, Sanglang ‘merdeka’ - Utusan Malaysia

Penduduk Napoh, Sanglang ‘merdeka’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Penduduk di pekan Napoh menyambut ‘merdeka’ lebih awal apabila mereka dibebaskan daripada penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar Secara Pentadbiran (Temco).

Salah seorang penduduk, Muhd. Arif Abd. Wahab, 30, dari Kampung Tebing di sini yang sebelum ini menjalani perintah ‘berkurung’ berkata, dia gembira menanggalkan gelang merah jambu selepas menjalani sari­ngan Covid-19 sejak 6 Ogos lalu.

“Alhamdullilah saya dan penduduk Napoh telah dibenarkan keluar rumah termasuk ke ka­wasan lain mukim ini selepas menanggalkan gelang merah jambu,” katanya ketika ditemui di pekarangan luar Klinik Kesihatan Napoh di sini semalam.

Seorang lagi penduduk, Razali Dahaman, 36, berkata, dia belum berkesempatan menemui isterinya, Siti Solehah Salleh, 26, selepas melahirkan anak sulung mereka, Raihan Nur Saffiya.

“Secara kebetulan, isteri saya me­lahirkan anak perempuan pada hari pertama pelaksanaan Temco di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar dan sejak itulah kami terpisah.

“Saya tak sabar nak peluk dan cium anak kerana sebelum ini saya hanya sekadar menatap wajahnya dalam gambar dihantar isteri menerusi telefon,” ujarnya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Bukit Kayu Hitam dekat sini.

Dalam pada itu, Khairuddin Mohd. Nur, 52, berkata, dia lega apabila sudah boleh keluar menoreh getah dan melakukan kerja-kerja kampung lain.

“Saya bersyukur kerana boleh keluar mencari rezeki untuk keluarga kerana sepanjang Temco, saya terpaksa mengeluarkan wang simpanan untuk belanja keperluan harian,” katanya.

Di Perlis, perasaan sama turut dirasai penduduk Kampung Tanah Timbul dan Kampung Kuala Sanglang apabila pelaksanaan Temco dijalani sejak 10 Ogos lalu itu berakhir.

Suri rumah, Mahani Mah­mood, 46, berkata, ‘perintah berkurung’ yang ditamatkan lebih awal berbanding 31 Ogos seperti diumumkan sebelum ini merupakan berita gembira.

“Apabila dah boleh bergerak keluar, kami rasa macam merdeka sebab saya pun senang untuk berulang-alik ke rumah emak,” katanya ketika ditemui.

Tinjauan Utusan Malaysia kira-kira pukul 10.30 pagi di pekan Kuala Sanglang mendapati penduduk mula menjalani kehidupan seperti biasa dan kedai-kedai yang selama ini ditutup juga sudah kembali be­roperasi.

Ada juga dalam kalangan penduduk yang minum di kedai kopi bersama rakan-rakan selepas lama tidak bertemu.

Sementara itu, pemilik kedai runcit, Toe Chee Seng, 64, pula berkata, dia kembali membuka kedai selepas duduk di rumah sejak lebih dua minggu lalu.

“Saya harap selepas ini semua orang dapat menjaga prosedur operasi standard (SOP) agar kita tidak perlu menjalani kua­rantin lagi,” jelasnya.

Dalam pada itu, seorang petani, Azali @ Ghazali Hamid, 76, berkata, perkara pertama yang dia lakukan adalah keluar minum dan makan roti canai bersama rakan-rakannya.

“Memang jemu duduk di rumah sahaja semasa kuarantin dulu. Saya bersyukur kerana Temco telah tamat dan kami penduduk kampung dapat bebas keluar semula,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya