SUNGAI PETANI: Polis meminta kesemua 22,360 penduduk di Zon Mawar, Melur dan Kenanga di Ambangan Heights di sini memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa dengan mematuhi arahan kuarantin di rumah bagi membendung penularan Covid-19 bagi Kluster Tawar.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah memberitahu, kesemua penduduk terlibat tertakluk di bawah prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (Temco) yang mana mereka tidak dibenarkan keluar dari kawasan tersebut.
“Penduduk mula menjalani saringan pada hari ini dan mereka perlu mematuhi arahan kuarantin di rumah dengan ketua keluarga sahaja dibenarkan keluar membeli barang keperluan di kawasan Temco,” katanya kepada pemberita di Ambangan Heights di sini semalam.
Kata beliau, sebanyak empat sekatan jalan raya (SJR) dilakukan selain bertindak menutup 11 lorong tikus di kawasan perumahan seluas 2.85 kilometer persegi itu.
“Kita juga menggunakan penghadang konkrit dan kawat duri untuk menutup laluan serta lorong tikus,” ujarnya.
Menurut Adzli, polis bersama ATM akan memastikan tiada penduduk dari tiga zon tersebut meloloskan diri sepanjang pelaksanaan Temco yang bermula semalam.
“Seramai 26 pegawai dan 93 anggota polis bersama ATM akan mengawasi seluruh kawasan perumahan ini termasuk melakukan rondaan di setiap zon,” katanya.
Dalam pada itu, kata beliau, semua penduduk tidak dibenarkan keluar untuk bekerja dan arahan tersebut juga terpakai kepada anggota polis dan ATM di kawasan perumahan berkenaan.
“Terdapat seramai 25 anggota, pegawai polis dan kakitangan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda yang tinggal dalam kawasan Temco dan mereka juga perlu patuh pada arahan kuarantin,” katanya. – UTUSAN