ALOR SETAR: Pemilik Restoran Nasi Kandar Salleh di pekan Napoh, Kubang Pasu dekat sini dijatuhi hukuman penjara 20 bulan dan denda RM12,000 selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan tidak mematuhi perintah kuarantin di rumah yang dikenakan terhadapnya, Julai lalu.
Tertuduh, Nezar Mohamed Sabur Batcha, 57, mengaku bersalah di hadapan Majistret Hadi Hakimi Harun selepas pertuduhan tersebut dibacakan di pekarangan sebuah wad di Hospital Alor Setar di sini pada pukul 10 pagi.
Majistret menjatuhkan hukuman penjara lima bulan dan denda RM3,000 bagi setiap pertuduhan dengan hukuman penjara diperintahkan berjalan secara serentak.
Pendakwaan kes tersebut dilakukan di pekarangan wad berkenaan berikutan tertuduh masih menerima rawatan di hospital itu selepas disahkan positif Covid-19 bagi Kluster Sivagangga pada 28 Julai lalu.
Ketika prosiding berlangsung, Hadi Hakimi dan Timbalan Pendakwa Raya, Zabidah Ahmad serta jurubahasa memakai sut peralatan pelindungan diri (PPE) manakala tertuduh mengenakan pelitup muka. – UTUSAN ONLINE