Pemilik mesin RO Water dikompaun - Utusan Malaysia

Pemilik mesin RO Water dikompaun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG : Pemilik enam mesin air osmosis berbalik (RO Water) layan diri dikompaun RM12,000 oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kluang kerana tidak mempunyai berlesen dalam tiga operasi berasingan dijalankan di sekitar daerah ini.

Pegawai Kesihatan Daerah Kluang, Dr. Mohamad Nizam Subahir berkata, melalui operasi membabitkan 12 anggota dan pegawai itu, empat pemilik mesin air yang lain turut diberikan amaran kerana lesen tamat tempoh.

“Hasil siasatan mendapati mereka menyalahi Peraturan 360C Peraturan-Peraturan Makanan 1985 kerana tidak mempunyai lesen yang sah. Jika sabit kesalahan di mahkamah, mereka boleh didenda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara dua tahun.

“Ada juga empat kes di mana lesen mereka tamat tempoh dan diberikan amaran supaya memperbaharuinya segera atau berdepan tindakan sama,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, dakwaan juga boleh dilakukan sekiranya terdapatnya tindakan mengalih, mengubah atau menganggu mesin yang telah disita mengikut Subseksyen 4(12) Akta Makanan 1983.

Menurutnya, operasi berkenaan bagi memastikan mesin air layan diri di daerah ini dalam keadaan yang memuaskan.

“Setakat ini tiada laporan mengenai mesin air layan diri ini yang gagal beroperasi dengan baik, namun kami akan memastikan mereka yang terbabit dengan pengendalian bahan makanan dan minuman memandang serius perkhidmatan yang melibatkan umum.

“Penyelenggaraan rutin terhadap mesin ini perlu dilakukan mengikut jadual termasuklah dokumennya seperti lesen dan kebenaran yang tidak tamat tempoh agar dapat mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

“Operasi seperti ini akan diteruskan dari masa ke semasa dan pihak Pejabat Kesihatan Daerah Kluang akan melaksanakan di keseluruhan daerah agar pengendali serta pemilik premis tidak ambil mudah dengan perkara yang menjadi tanggungjawab mereka,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pemilik kedai serbaneka mendakwa beliau mengenakan caj sewa RM50 sebulan kepada pemilik mesin RO di Taman Sri Kluang di sini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN