KEMAMAN: Seorang pekerja kedai makan maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah lori di Kilometer 154, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di Jambatan Geliga di sini malam tadi.
Mohamed Zawi, 56, dari perumahan kos rendah Taman Fikri Fasa di sini meninggal dunia di ketika dirawat di Unit Kecemasan Hospital Kemaman kira-kira pukul 9.15 malam.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 8.35 malam itu, mangsa yang menunggang motosikal Honda EX5 dikatakan melanggar bahagian belakang lori yang berhenti di bahu jalan.
Katanya, ketika nahas tersebut kedua-dua kenderaan dari arah sama iaitu dari Kuantan ke Kuala Terengganu.
“Lori tanpa muatan itu dipercayai berhenti di bahu jalan dan memasang lampu kecemasan kerana kerosakan yang dialami.
“Akibat rempuhan itu, Mohamed parah di kepala dan dikejarkan ke Hospital Kemaman, namun mangsa menghembuskan nafas terakhir kira-kira 40 minit kemudian ketika menerima rawatan,” katanya di sini hari ini.
Menurut Hanyan, pemandu lori berusia 47 tahun dari Johor itu, bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN