KOTA TINGGI: Seorang pegawai tentera darat berpangkat mejar antara enam anggota keselamatan yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan membantu ahli jenayah terancang Geng Otong.
Selain Zaifol Abdul Hamid, 43, turut didakwa anggota tentera berpangkat sarjan iaitu Mohammad Riduan Razali, 35.
Empat lagi terdiri daripada anggota polis berpangkat koperal dan lans koperal iaitu Hong Tiong Khim, 24; Saddam Hussen Ismail, 29; Muhamad Safuan Taharin, 29 dan Mohd. Ariff Mustafa, 54.
Tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan berasingan di hadapan Hakim Zahilah Mohammad Yusoff.
Mereka didakwa membantu ahli kumpulan jenayah Geng Otong antara 28 September 2017 dan April 2020.
Pertuduhan dijalankan mengikut Seksyen 130W Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun jika sabit kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd. Ghani dan Rohaiza Abd. Rahman.
Kesemua tertuduh diwakili peguam masing-masing.
Mahkamah tidak menetapkan sebarang jaminan kepada semua tertuduh dan menetapkan tarikh 15 Oktober ini sebagai sebutan semula kes.
Polis sebelum ini dilaporkan berjaya menumpaskan sepenuhnya kegiatan penyeludupan migran terbesar di negara ini dengan melumpuhkan tiga sindiket penyeludupan utama menerusi Op Benteng: Covid-19 di Johor, Perak dan Pulau Pinang.
Pada 2 Julai lalu, 51 orang termasuk 25 warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang yang mendalangi sindiket penyeludupan pendatang asing sejak 2015 hingga tahun ini.
Anggota sindiket penyeludupan manusia tersebut membabitkan tekong darat, ejen, penjaga rumah penampungan transit selain transporter. – UTUSAN