SETIU: Seorang pegawai Perpustakaan Awam Setiu maut selepas motosikalnya dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kampung Banggol, Permaisuri di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, mangsa, Mohamad Shazwan Sarif, 27, dari Wakaf Tembesu, Kuala Nerus meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Afandi Husin berkata, nahas dipercayai berlaku apabila kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang dipandu lelaki berusia 26 tahun dari arah Penarik ke Permaisuri itu terbabas di lokasi kejadian.
“Pacuan empat roda yang terbabas itu kemudian memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh motosikal mangsa yang berada di hadapan .
“Mangsa yang dari arah Permaisuri ke Penarik meninggal dunia di tempat kejadian,”
Menurut Afandi, siasatan di lokasi kejadian mendapati permukaan jalan basah berikutan hujan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN