Pegawai bomba didakwa dapatkan suapan RM15,540 - Utusan Malaysia

Pegawai bomba didakwa dapatkan suapan RM15,540

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pegawai bomba berpangkat penolong kanan penguasa  mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dua pertuduhan mendapatkan suapan dengan mencadangkan sebut harga syarikat ahli keluarganya bagi melaksanakan kerja-kerja pembekalan bernilai RM15,540, empat tahun lalu. 

Tertuduh, Mohd. Roslan Zakaria, 37, yang berkhidmat di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Terengganu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jamaluddin Mat. 

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan dengan mencadangkan sebut harga syarikat adik iparnya bagi melaksanakan kerja-kerja pembekalan 31 unit kompas orientaring (Sunto) yang berjumlah RM7,440.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd. Roslan didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan dengan mencadangkan sebut harga syarikat ibu mentuanya bagi melaksanakan kerja-kerja pembekalan 60 unit antenna 146-174 Mhz Motorola GP328 dan 30 unit alat ganti charger Motorola GP328 yang bernilai RM8,100.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada  November 2016. 

Kesemua pertuduhan dituduh di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah seksyen 24 akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Hayyatuddin Muhamad. 

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan melapor diri ke pejabat SPRM setiap bulan selain menyerahkan pasport antarabangsa. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya