Pas umum senarai calon PRN Sabah serentak dengan komponen PN - Utusan Malaysia

Pas umum senarai calon PRN Sabah serentak dengan komponen PN

AHMAD SAMSURI MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pas akan mengumumkan senarai calonnya yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah secara serentak dengan komponen Perikatan Nasional (PN).

Naib Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan itu dicapai hasil persetujuan bersama rakan-rakan parti lain dalam gagasan tersebut.

Katanya, ketika ini Pas masih lagi berbincang mengenai jumlah kerusi yang ingin dipertaruhkan pada pilihan raya itu dan belum memuktamadkan bilangannya.

“Kita sedang mengadakan perbincangan, Insya-Allah apabila kita sudah perhalusi dan membuat keputusan baru kita akan maklumkan. 

“Berdasarkan keputusan awal dipersetujui kita akan mengisytiharkan senarai calon itu bersama-sama dengan rakan-rakan parti lain yang membentuk gagasan kebersamaan dengan PN,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Eksesais Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di jambatan angkat (drawbridge) di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim dan Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd. Zubil Mat Som.

Semalam, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa memberitahu isu pembahagian kerusi antara parti itu, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di samping parti komponen PN lain pada PRN Sabah akan diselesaikan pada pertengahan minggu depan.

Baru-baru ini pula, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berharap parti itu dapat bertanding di enam hingga 10 kerusi pada PRN Sabah.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 September ini sebagai tarikh PRN Sabah dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 12 September manakala hari mengundi awal pada 22 September. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya