SEREMBAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan merampas kira-kira 5,000 helai pakaian berjenama tiruan dengan anggaran nilai RM130,000 dalam satu serbuan di Nilai, 13 Ogos lalu.
Pengarahnya, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, operasi ke atas sebuah lot kedai yang dijadikan pusat jualan barang tiruan secara borong itu adalah hasil risikan selama dua minggu yang dijalankan pihaknya.
Ujarnya, operasi tersebut melibatkan enam orang pegawai penguatkuasa KPDNHEP dan turut disertai wakil pemilik cap dagang.
“Lebih 5,000 helai pakaian berjenama yang menggunakan perihal dagangan palsu telah dirampas dalam operasi ini. Anggaran nilai rampasan adalah RM 130,000 dan kes ini disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019.
“Premis yang diserbu ini juga dipercayai menyimpan kasut dan selipar berjenama tiruan bagi tujuan jualan secara borong kepada peniaga runcit di sekitar negeri ini.
“Siasatan awal menunjukkan premis ini merupakan antara pembekal pakaian tiruan di Negeri Sembilan dan dimiliki oleh seorang warga tempatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Ain Arjuna lagi, pemilik premis ini telah dikenalpasti dan akan didakwa di mahkamah.
“Kami akan mengambil tindakan tegas bagi menghalang penjualan barang tiruan dan barangan cetak rompak melalui penguatkuasaan Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Hakcipta 1987.
“Hukuman bagi suatu pertubuhan atas kesalahan menjual barangan tiruan adalah denda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, denda tidak melebihi tiga puluh ribu ringgit bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu,” katanya. – UTUSAN