PUTRAJAYA: Inisiatif National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) menjadi satu cara negara mempercepatkan pertumbuhan ekonomi melalui penggunaan teknologi disruptif.
Teknologi disruptif yang dimaksudkan seperti kecerdasan buatan (AI), robotik, teknologi dron, teknologi sensor dan infrastruktur 5G dalam misi menyelesaikan permasalahan negara.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu termasuk menyelesaikan permasalahan nasional meliputi kebergantungan terhadap buruh asing, risiko jaminan makanan, penjagaan kesihatan serta ketidaksamaan capaian internet dan liputan infrastruktur digital.
Katanya, NTIS juga dilihat bakal memacu Malaysia ke arah negara berteknologi dan berpendapatan tinggi melalui penyelesaian inovatif terutamanya dari cetusan solusi dan kepakaran tempatan.
“Melalui NTIS, syarikat-syarikat pemula, pembangun teknologi, para penyelidik dan inovator boleh melaksanakan projek-projek inovasi dalam persekitaran sandbox atau terkawal.
“Dengan adanya semakan kepada beberapa peraturan yang berupaya memberi kelonggaran untuk mengupaya, menguji serta mencuba teknologi baharu, saya yakin pembangunan penyelesaian berlandaskan teknologi dan inovasi dapat dipercepatkan,” katanya berucap pada majlis pelancaran NTIS di Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), Cyberjaya dekat sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.
Bagi tujuan NTIS itu, kata Muhyiddin, kerajaan melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi memperuntukkan sebanyak RM100 juta untuk menggalakkan perkembangan teknologi, inovasi dan kreativiti dalam perkhidmatan dan pengkomersialan inovasi tempatan serta mengorak langkah dalam mempertingkatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) baharu.
Katanya, ini boleh mengurangkan kebergantungan negara kepada teknologi dan inovasi daripada luar negara.
“Ia juga bertujuan untuk meningkatkan produktiviti di samping kualiti hidup rakyat.
“NTIS menyediakan ruang kepada masyarakat dan perniagaan untuk turut serta menyumbang kepada kepakaran dan penemuan penyelesaian terhadap permasalahan yang dihadapi kita semua di samping menyokong penggunaan teknologi dan inovasi buatan tempatan.
“Ekonomi yang berpaksikan inovasi akan membentuk masyarakat yang aktif, mempunyai daya tahan dan daya saing yang tinggi, seterusnya melonjakkan nama negara ke tahap yang disanjungi masyarakat global,” ujarnya.
Menurut Muhyiddin, kerajaan bukan sahaja mahu rakyat selesa dan mahir menggunakan teknologi, malah mahukan rakyat menjadi pencipta teknologi, pemaju teknologi.
Sebagai contoh, penyedia perkhidmatan dron dipacu AI tempatan iaitu Aerodyne Group, menduduki tempat ketiga di dunia melalui Drone Industry Insights (DII) dalam kategori 10 Penyedia Terbaik Perkhidmatan Dron 2019.
Aerodyne Group juga dinamakan sebagai Frost & Sullivan’s ‘Asia Pacific UAV Services Company of 2019’ dan penerima ‘Anugerah Emas Kecemerlangan Industri 2019’ Institut Kejuruteraan dan Teknologi (IET) Malaysia. – UTUSAN