Nenek didakwa pukul cucu empat tahun  - Utusan Malaysia

Nenek didakwa pukul cucu empat tahun 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang nenek didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memukul cucunya yang berusia empat tahun sehingga cedera pada hujung tahun lalu.

Tertuduh, K. Chilvi, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan di bahagian kaki mangsa, yang juga merupakan cucu lelakinya berusia empat tahun dengan cara memukulnya menggunakan sebatang rotan berbulu ayam.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 10 pagi di sebuah rumah di Taman Cheng Mutiara pada awal November tahun lalu.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Hayatul Wirdah Mohd. Yunos mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM20,000 berserta syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu mangsa sepanjang prosiding mahkamah berjalan. 

Peguam K. Ramalingam yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya tidak bekerja dan telah memberikan kerjasama sepanjang siasatan. 

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Elesabet membenarkan ikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh tidak mendekati mangsa dan melapor diri di balai polis berdekatan sehingga kes selesai. 

Beliau turut menetapkan 15 September depan sebagai sebutan semula kes. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya