Nelayan Vietnam sabotaj tenggelamkan bot - Utusan Malaysia

Nelayan Vietnam sabotaj tenggelamkan bot

SEBAHAGIAN nelayan warga Vietnam yang ditahan dalam Operasi Kuda Laut di perairan pantai timur menunggu untuk saringan Covid-19 di Jeti Zon Maritim Kemaman, Kemaman, Terengganu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

KEMAMAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengesan taktik  nelayan Vietnam yang sanggup menenggelamkan bot mereka walaupun  dicekup pihak berkuasa.

Pengarah Maritim Malaysia Pahang, Laksamana Pertama Maritim Amran Daud berkata, tindakan berani mati nelayan warga asing itu bertujuan melupuskan semua bukti yang mereka merompak hasil laut negara.

Katanya, kejadian tersebut membabitkan satu daripada sembilan bot yang ditahan pihak berkuasa dalam Operasi Kuda Laut selama dua hari sejak Ahad lalu di sepanjang perairan pantai timur.

“Sebuah bot disabotaj oleh nelayan Vietnam sehingga mengalami kebocoran dan karam di sekitar 30 batu nautika dari Kuala Kemaman pada pukul 3.34 pagi tadi.

“Bagaimanapun, tiga anggota Maritim Malaysia bersama dua nelayan yang berada di atas bot berkenaan berjaya diselamatkan dan kami percaya tindakan sedemikian dilakukan oleh nelayan Vietnam untuk melupuskan bukti kes,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Amran tidak menolak kemungkinan taktik menenggelamkan bot pada tengah malam sehingga awal pagi itu akan menjadi trend dalam kalangan nelayan warga Vietnam demi melepaskan diri daripada dijatuhkan hukuman berat.

Katanya, kejadian seumpama itu tidak pernah dikesan berlaku sebelum ini di perairan pantai timur.

Dalam perkembangan sama, katanya, kesemua sembilan bot dengan 111 kru termasuk tekong berusia antara 17 hingga 56 tahun itu ditahan pada jarak 68 hingga 147 batu nautika dari Kuala Kemaman.

Katanya, turut merampas 15 tan metrik hasil laut dan 10,000 liter diesel yang keseluruhannya bernilai RM10 juta tidak termasuk bot yang telah karam dengan kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana bot beroperasi tanpa lesen yang sah dan Akta Imigresen 1959/63.

“Kita percaya empat daripada bot berkenaan menggunakan nombor pendaftaran tempatan bertujuan bagi mengaburi mata pihak berkuasa dan mengelak daripada ditahan,” katanya.

 Menurut beliau, bot dan hasil rampasan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kemaman dan Jeti Maritim Kelantan untuk siasatan lanjut. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya