PUTRAJAYA: Borang permohonan mendaftarkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) diserahkan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) semalam.
Borang itu diserahkan oleh bakal presiden parti itu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Mukhriz ketika ditemui berkata, pihaknya sudah bersedia dan turut menyediakan logo parti iaitu berwarna biru ‘pantone’.
Katanya, dalam logo berkenaan terdapat tiga titik yang membawa maksud Rukun Islam, Rukun Iman dan Rukun Negara.
“Nama parti guna lambang dengan huruf ‘Pa’ yang bermaksud pejuang dengan tiga titik di atas, melambangkan tiga rukun rukun Islam, rukun Iman dan Rukun Negara.
“Kita harap ini menjadi satu simbol perjuangan kita khususnya masyarakat Melayu dan amnya rakyat Malaysia,” katanya.
Terdapat tujuh jawatan kuasa penaja Pejuang iaitu termasuk Muhkriz dan bapanya yang juga bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Menurut Mukhriz, beliau berharap ROS meluluskan pendaftaran Pejuang agar mereka dapat menyertai proses demokrasi negara secara rasmi. – UTUSAN