KUALA LANGAT: Mengambil jalan mudah melupuskan sisa buangan sampah dengan menanam sisa buangan itu dengan mengorek dan menanam serta meratakan tanah menggunakan jentera pengorek.
Malah, pusat pelupusan sampah yang terletak di Olak Lempit, Banting di sini bukan sahaja melupuskan sampah isi rumah, tetapi turut bertindak menanam sampah perindustrian di sekitar tapak tersebut.
Bagaimanapun, kegiatan pusat pelupusan sampah itu tidak bertahan lama apabila Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) menyerbu premis tersebut kira-kira pukul 11 pagi semalam.
Serbuan itu juga membongkar pusat pulupusan sampah itu merupakan premis haram dan dipercayai menjalankan operasi sejak tiga bulan lalu.
Yang Dipertuanya, Datuk Amirul Azizan Abd. Rahim berkata, serbuan dilakukan hasil aduan Persatuan Tindakan Alam Sekitar Kuala Langat berhubung lokasi yang dijadikan pusat pelupusan sampah tidak sah.
“Bertindak atas maklumat itu, kami dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuala Langat menjalankan pemeriksaan di tapak tersebut.
“Semakan mendapati lokasi tersebut sememangnya dijadikan tapak pelupusan sampah tanpa kebenaran.
“Malah, kita turut menemukan tumpahan minyak di sekitar lubang dan parit di kawasan itu selain jentera pengorek bagi menanam sampah serta meratakan tanah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam pada itu, Amirul Azizan berkata, pihaknya telah mengeluarkan notis kesalahan dan tindakan sitaan mengikut peraturan yang ditetapkan.
“Notis itu dikeluarkan mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap MDKL 2007 atas kesalahan melupuskan sampah di tempat yang tidak dibenarkan.
“Tindakan sitaan pula dilakukan mengikut UUK 21 (1) akta sama melibatkan sebuah jentera pengorek, kompresor angin dan pelbagai peralatan lain,” katanya.
Tambah Amirul Azizan, dalam operasi berakhir pukul 4 petang itu, PDT turut mengambil tindakan mengikut Kanun Tanah Negara (KTN). – UTUSAN