Motosikal bergesel, lelaki putus kaki kiri - Utusan Malaysia

Motosikal bergesel, lelaki putus kaki kiri

MUSTOFA Kamal menahan kesakitan putus kaki kiri selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 55, Jalan Sungai Gawi-Aring berhampiran Bukit Kawah, Hulu Terengganu semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Seorang lelaki putus kaki kiri selepas motosikal yang ditunggangnya bergesel dengan motosikal rakannya di Kilometer 55, Jalan Sungai Gawi-Aring berhampiran Bukit Kawah di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, Mustofa Kamal Abdullah, 33, dari Rhu Muda, Marang dan Muhamad Haziq Izzuddin Mohd. Yusoff, 25, dikatakan menyertai konvoi bermotosikal untuk ke Cameron Highlands bersama rakan mereka yang lain.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, kejadian berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal Yamaha RXZ mahu mengelak serpihan batu yang berada di tengah jalan.

“Semasa kejadian mangsa dan Muhamad Haziq Izzuddin berada di belakang sekali dalam konvoi lapan motosikal untuk ke Cameron Highlands itu.

“Apabila tiba di tempat kejadian mangsa yang mahu mengelak serpihan batu di tengah jalan kemudian bergesel dengan motosikal rakannya lalu terbabas sebelum merempuh penghadang jalan,” katanya di sini semalam.

Mohd. Adli berkata, akibat kemalangan itu, Mustofa Kamal putus kaki kiri manakala Muhamad Haziq Izzuddin tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, mangsa dikejarkan oleh rakan-rakan konvoinya ke Unit Kecemasan Hospital Hulu Terengganu di sini untuk menerima rawatan.

“Bagaimanapun, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN