LIPIS: Misteri bau busuk yang menimbulkan tanda tanya kepada penduduk Kampung Mela di sini akhirnya terungkai selepas mayat seorang lelaki ditemukan dalam sebuah rumah di kampung berkenaan hari ini.
Mangsa, Atan Mat Yunus, 57, yang tinggal seorang diri di rumah itu dan tidak berkahwin dipercayai meninggal dunia sejak tiga hari lalu.
Ketua Polis daerah, Superintendan Azli Mohd. Noor berkata, mayat mangsa yang berbau busuk ditemukan pukul 11.40 pagi.
“Semasa pemeriksaan, rumah tidak berkunci dan mayat mangsa ditemukan di ruang tamu.
“Pemeriksaan dilakukan di rumah serta mayat dan tiada kesan jenayah,” katanya di sini hari ini.
Menurut Azli, mayat mangsa dihantar ke Hospital Lipis dan bedah siasat akan dilakukan esok.
Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan awal mendapati mangsa dilihat keluar rumah tiga hari lalu. – UTUSAN