JOHOR BAHRU: Seorang suspek jenayah menyamar sebagai mangsa kemalangan jalan raya sebelum menyamun pemandu kereta sebelum melarikan kenderaan milik mangsa.
Dalam kejadian berlaku pukul 6.45 pagi itu, mangsa yang merupakan bekas kakitangan Utusan Melayu (M) Berhad, Marzuki Taib, 53, sedang memandu kereta secara bersendirian ternampak kelibat seorang lelaki dalam keadaan cedera terbaring di tengah-tengah jalan.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain berkata, apabila mangsa menurunkan cermin kereta, dia didatangi empat orang suspek dan salah seorang daripadanya bertindak menumbuk mukanya beberapa kali.
Beliau berkata, suspek kemudiannya menarik mangsa keluar daripada kenderaan sehingga jatuh di atas jalan raya sebelum melarikan kereta jenis Proton Exora tersebut meninggalkan mangsa serta lelaki yang terbaring cedera di lokasi kejadian.
“Ekoran kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala, muka, bahu dan kaki.
“Siasatan awal turut mendapati lelaki yang cedera terbaring di atas jalan raya tersebut merupakan warganegara India berumur 40 tahun juga merupakan mangsa samun keempat-empat suspek yang sama,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Mohd. Padzli berkata, susulan kejadian itu, polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam telah menerima maklumat kemalangan jalan raya kira-kira pukul 7.30 pagi di KM 20.5 Jalan Johor Bahru – Kota Tinggi yang dipercayai melibatkan keempat-empat suspek yang sama.
Jelasnya, dalam kemalangan tersebut, salah seorang suspek berusia 18 tahun maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi suspek yang berumur 22 tahun dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) setelah mengalami kecederaan parah.
“Tangkapan telah dibuat terhadap suspek yang sedang dirawat di Unit Kecemasan Zon Merah HSI. Pihak Polis sedang giat menjalankan usaha mengesan dua lagi suspek yang telah melarikan diri.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat bersabit kes di atas boleh menghubungi terus talian Hotline IPD Johor Bahru Selatan 072182323 atau pegawai penyiasat kes menerusi talian 019-7299064,” tambahnya. – UTUSAN