MBSA gempur Bandar Baru Sg. Buloh - Utusan Malaysia

MBSA gempur Bandar Baru Sg. Buloh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pusat judi dalam talian yang berselindung di sebalik kedai snuker antara premis disita Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dalam operasi bersepadu di Bandar Baru Sungai Buloh hari ini.

Operasi bermula kira-kira pukul 10 pagi itu disertai 230 anggota penguat kuasa pelbagai agensi diketuai MBSA bagi membanteras penjaja dan gerai tanpa kebenaran yang beroperasi di bahu jalan tanpa kebenaran.

Pemerhatian Utusan Malaysia ketika serbuan dijalankan mendapati, premis itu tidak lagi beroperasi namun meja snuker dan kerusi masih ada selain sebuah bilik tersorok di belakang kaunter dipercayai dijadikan premis perjudian dalam talian.

Turut kelihatan meja dan sofa di dalam bilik yang tersorok di dalam pusat snuker itu menyebabkan MBSA mengambil tindakan menyita peralatan di dalam premis tersebut.

Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan berkata, operasi bersepadu itu diadakan bagi membanteras penjaja tanpa kebenaran di kawasan ini.

Menurutnya, sepanjang awal tahun ini sehingga Julai lalu, sebanyak 25 premis perniagaan tanpa lesen diusahakan warga tempatan diambil tindakan.

“Dalam tempoh sama, 19 premis perniagaan tanpa lesen dikendalikan warga asing disita di sekitar kawasan Bandar Baru Sungai Buloh.

“Tindakan sitaan diambil mengikut undang-undang Kecil Penjaja MBSA 2007 Peruntukan 19 (meninggalkan barangan perniagaan di tempat awam) dan peruntukan 3 (menjaja tanpa lesen) serta Peruntukkan 42 (kuasa sitaan),” katanya dalam sidang akhbar.

Tambah Mohd Rashidi, operasi hari ini turut membabitkan perobohan ke atas premis yang melarikan kerja tambahan Pindaan tanpa kelulusan MBSA.

“Tindakan diambil mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

“MBSA juga mengalu-alukan kerjasama dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan memberi komitmen agar siasatan segera dilakukan sekiranya ada dalam kalangan pegawai MBSA melakukan salah guna kuasa di dalam menjalankan tugas di Sungai Buloh,” jelasnya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN