KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu hari ini menolak permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan Yang Dipertua Negeri Sabah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 30 Julai lalu.
Permohonan semakan itu dikemukakan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dan 32 Ahli DUN Sabah.
Mereka menamakan Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin sebagai responden pertama, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal selaku responden kedua manakala Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan Sabah masing-masing sebagai responden ketiga dan keempat.
Memetik laporan Bernama, Pesuruhjaya Kehakiman, Leonard David Shim dalam keputusannya berkata, Mohd. Shafie telah mengambil tindakan menurut Perlembagaan Sabah untuk memohon Tun Juhar bagi membubarkan DUN.
Tun Juhar juga mengambil tindakan yang tertakluk dalam bidang kuasanya untuk membubarkan DUN.
Sebaik sahaja keputusan itu disampaikan, kesemua 33 ADUN yang diketuai Musa Aman kemudian memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkenaan.