KUALA LUMPUR: Pemandu e-hailing yang dipercayai mendera anak teman wanitanya sehingga maut pada Jumaat lalu, ditahan reman seminggu bermula hari ini untuk siasatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, pihaknya juga akan melakukan ujian saringan air kencing terhadap suspek.
“Suspek berusia 26 tahun direman bagi membantu siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Siasatan lanjut berhubung kes itu sedang dijalankan dan setakat ini belum ada keterangan diambil,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan suspek ditahan di Subang Jaya, dekat sini kira-kira pukul 12.40 tengah hari, semalam.
Akhbar semalam melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut dipercayai didera teman lelaki ibunya di kediaman mereka di Pangsapuri Vista, Damansara dekat sini.
Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku semasa ibu mangsa meninggalkan anaknya bersama teman lelakinya itu sementara keluar untuk membeli makanan.
Setelah pulang, wanita terbabit mendapati anaknya berada dalam keadaan tidak sedarkan diri manakala teman lelakinya telah melarikan diri.
Mangsa disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat kecederaan di bahagian kepala.- UTUSAN ONLINE