KANGAR: Penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar Secara Pentadbiran (Temco) di Kuala Sanglang di sini bukan sahaja mengembirakan penduduk terbabit malah para pesawah di sekitarnya.
Selepas berminggu-minggu resah apabila salah sebuah kilang beras yang terletak di kawasan Temco itu tidak dapat beroperasi, kini mereka sudah boleh menghantar hasil tuaian ke kilang berkenaan.
Para pesawah menzahirkan syukur dengan perkembangan tersebut selepas hampir berdepan risiko kerugian sekiranya hasil tanaman yang dituai tidak dapat dijual.
Seorang pesawah dari Kampung Sungai Baru, Razali Saad, 54, berkata, dia dan rakan-rakan lain gembira selepas mendapat perkhabaran kilang beras di Kuala Sanglang boleh beroperasi selepas pelaksanaan Temco di kawasan itu berakhir.
Katanya, dalam tempoh dua atau tiga hari lagi, hasil tanamannya di kawasan seluas tiga hektar boleh dituai dan akan dijual di salah sebuah kilang beras milik syarikat Dibuk Sdn. Bhd. di Kuala Sanglang.
“Pada awalnya saya buntu jika kilang tersebut hanya boleh beroperasi hujung bulan ini, namun semalam kerajaan umumkan Temco berakhir.
“Menjelang sambutan kemerdekaan beberapa hari lagi, kami sudah bebas awal hari ini. Temco sudah berakhir dan pesawah tidak perlu lagi bimbang memikirkan hasil mereka akan dijual di mana,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Seorang lagi pesawah dari Sungai Padang, Kuala Sanglang, Ismail Sawai, 67, turut lega dengan perkhabaran Temco sudah berakhir seterusnya kilang beras di kawasan tersebut kembali beroperasi.
“Alhamdulilah, sejak seminggu lalu saya runsing memikirkan masalah ini. Setiap musim saya menjual lebih 300 tan metrik padi di kilang tersebut (Dibuk), kalau tak operasi mengundang masalah kepada kami,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Dibuk, Marzukhi Othman, 62, berkata, kilangnya mula membeli hasil padi para pesawah di kawasan tersebut bermula semalam.
“Alhamdulilah, kilang sudah kembali dibenarkan operasi selepas berakhirnya Temco. Kita menjangka membeli kira-kira 6,000 tan padi membabit 2,000 pesawah di kawasan Sanglang dan Simpang Empat,” katanya.
Selain di kilang beras Dibuk, hasil padi pesawah juga boleh dihantar ke pusat belian padi di Padiberas Nasional Berhad (Bernas) di negeri ini. – UTUSAN