Kerapu dan tenggiri diseludup ke Singapura - Utusan Malaysia

Kerapu dan tenggiri diseludup ke Singapura

IKAN kerapu yang dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) kerana diseludup ke Singapura.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) berjaya mematahkan cubaan pihak tidak bertanggungjawab menyeludup keluar ikan kerapu dan tenggiri bernilai RM7,004.83 ke Singapura.

Pengarah Maqis Johor, Nur Afifah A. Rahman berkata, cubaan tersebut dikesan pihaknya di laluan lori eksport di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di sini semalam. 

Katanya, ikan kerapu dan tenggiri berkenaan cuba dibawa keluar tanpa permit eksport sah. 

“Hasil pemeriksaan rapi dijalankan pada pukul 1 pagi mendapati pemilik lori tersebut telah menyorokkan 56 kilogram (kg) ikan kerapu dan 225 kg ikan tenggiri yang tidak diikrarkan. 

“Kesemua 281 kg ikan yang bernilai keseluruhan RM7,004.83 itu diletakkan bersama tong-tong lain berisi ikan yang memiliki permit eksport,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kesemua barangan dagangan tersebut ditahan dan perkara itu akan disiasat di bawah Seksyen 11(2) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

Jika sabit kesalahan, pihak terlibat boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Tambah Nur Afifah, Maqis akan sentiasa memantau sebarang pergerakan import dan eksport melibatkan keluaran pertanian agar mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan kerajaan. 

“Tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa di semua pintu masuk negara bagi memastikan kawalan penyakit ikan, haiwan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara,” ujarnya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya