Kementerian Kesihatan sedia pinda Akta 342 - Utusan Malaysia

Kementerian Kesihatan sedia pinda Akta 342

ADHAM Baba merasmikan majlis Penyerahan Pelitup Muka Kepada Pertubuhan Gabungan Tahfiz Negeri Johor dan Pelancaran Harga Pelitup Muka Econsave di Evonsave Kota Tinggi, Johor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Kementerian Kesihatan bersedia meminda undang-undang agar kadar kompaun kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dapat dinaikkan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, walau bagaimanapun pihaknya akan meneliti maklum balas masyarakat terlebih dahulu sebelum melakukan pindaan terhadap Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Sekiranya kita ingin melihat kompaun dinaikkan sekali atau dua kali ganda kita perlu meminda Akta 342. Kita sedia untuk membawa akta ini dipinda pada sidang Parlimen akan datang. 

“Kita juga kena bincang di peringkat Kabinet dan lihat respons rakyat kerana ada juga ahli Parlimen yang meminta kompaun dikurangkan buat mereka yang mungkin dalam golongan tidak mampu bayar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penyerahan Pelitup Muka Kepada Pertubuhan Gabungan Tahfiz Negeri Johor dan Pelancaran Harga Pelitup Muka Econsave di di sini hari ini.

Kata Dr Adham lagi, sehingga kini kadar kompaun maksimum adalah RM1,000 namun terlakluk kepada budi bicara pegawai yang diberi kuasa.

“Tetapi ia boleh ikut budi bicara pegawai untuk beri kompaun bermula dengan RM100 sehinggalah ke tahap maksimum yang diberi biasanya disebabkan kesalahan betul-betul tidak patuhi SOP,” katanya.

Mengulas lanjut, Adham yang juga Ahli Parlimen Tenggara berkata, kewajaran menggunakan penyukat suhu di premis-premis masih diperlukan kerana ia satu cara mengesan mereka yang bergejala selain batuk, sakit tekak dan demam. 

“Kita ada aplikasi MySejahtera ia sudah memadai untuk membenarkan kita dalam kawasan yang diberitahu hijau, kuning atau merah dan dapat tahu kontak sekiranya berlaku dalam kawasan tersebut ada wabak. 

“Contoh kes di Sivagangga, Kubang Pasu, Kedah tidak ada langsung buku dan Mysejahtera betapa sukar pihak kementerian hendak mengesan kontak. 

“Tetapi dengan adanya MySejahtera dan rekod buku dengan suhu badan kita sangat mudah kesan dan dengan aktif dapat cari kes-kes serta dapat dirawat dan pisahkan mereka supaya dapat bendung Covid-19,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN