ALOR SETAR: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah mengarahkan institusi masjid dan surau menangguhkan semua aktiviti keagamaan di kawasan berisiko jangkitan Covid-19 berkuat kuasa semalam.
Pengarahnya, Mohd. Yusri Md. Daud berkata, arahan itu melibatkan daerah Kota Setar iaitu dua masjid, Kuala Muda (39), Kulim (6), Kubang Pasu (7), Baling (6), Yan (3) dan Padang Terap (3) termasuk semua surau di kariah tersebut.
“Solat Jumaat juga ditangguh dan digantikan dengan solat fardu zuhur.
“Aktiviti-aktiviti keagamaan seperti majlis ilmu, kuliah, kelas pengajian, majlis bacaan Yasin dan sebagainya adalah tidak dibenarkan termasuk majlis akad nikah serta solat jenazah,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Beliau berkata, solat fardu berjemaah di masjid-masjid terlibat dibenarkan dengan bilangan jemaah maksimum seramai tiga orang sahaja iaitu imam, pegawai masjid atau jawatan kuasa kariah secara bergilir-gilir.
Selain itu, menurut Mohd. Yusri, anak kariah bagi masjid berkenaan juga dilarang menunaikan solat Jumaat atau solat fardu berjemaah di masjid-masjid dan surau-surau kawasan lain.
“Jawatan kuasa kariah melalui Pejabat Agama Daerah boleh mengesyorkan penutupan masjid jika dibimbangi akan berlaku penularan seterusnya dipertimbangkan tahap keseriusan oleh Jawatankuasa Kerja Keselamatan Daerah (JKKD) Khas Isu Covid-19,” jelasnya.
Tambahnya, masjid-masjid yang didapati jemaahnya positif Covid-19 hendaklah dilakukan sanitasi secara keseluruhan dan operasi masjid ditutup sepenuhnya serta dibuka semula 14 hari selepas proses itu. – UTUSAN