Kedah kuat kuasa arahan kekang penularan Covid-19 - Utusan Malaysia

Kedah kuat kuasa arahan kekang penularan Covid-19

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah menguatkuasakan beberapa arahan untuk mengekang penularan Covid-19 di kawasan yang dilanda wabak itu di negeri ini berkuat kuasa hari ini.

Arahan tersebut dikeluarkan selepas empat kluster baharu dikesan merebak di negeri ini sejak 28 Ogos lalu.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, keputusan tersebut dicapai dalam
Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) yang dipengerusikannya di sini malam tadi.

Katanya, antara arahan itu adalah semua premis yang menjalankan operasi peruncitan seperti kedai runcit, kedai 24 jam dan kedai serbaneka di stesen minyak dihadkan waktu operasi hanya bermula pukul 8 pagi hingga 8 malam.

“Bagaimanapun, semua stesen minyak, klinik kesihatan 24 jam, pasar borong dan kilang yang ada kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dibenarkan beroperasi seperti biasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Empat kluster Covid-19 yang dikesan di negeri ini ialah Kluster Tawar, Kluster Muda, Kluster Sala dan Kluster Sivagangga.

Kawasan yang terlibat dengan penularan empat kluster itu ialah Mukim Hosba, Mukim Ah, Mukim Binjal di Kubang Pasu, Kampung Ulu di Mukim Padang Senai (Padang Terap), Mukim Tawar (Baling), Mukim Muda (Kuala Muda) dan Mukim Sala (Yan).

Muhammad Sanusi berkata, aktiviti penjualan makanan pula hanya dibenarkan secara bawa pulang dan pandu lalu serta tidak lagi dibenarkan untuk makan, minum atau melepak di kedai berkenaan.

Tambahnya, operasi pasar malam di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) pula dibenarkan bermula dari pukul 4 petang sehingga 8 malam.

Selain itu, beliau berkata, mesyuarat JKKN turut memutuskan semua penganjuran program sosial termasuk sambutan Hari Kemerdekaan anjuran jabatan dan agensi ditangguh dan dibatalkan.

“Penganjuran majlis kenduri termasuk majlis perkahwinan juga diarah ditangguhkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN