KLUANG: Inisiatif Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Taman Sri Lambak 1 mengibarkan 200 helai Jalur Gemilang di sekitar premisnya bukan sahaja berjaya memupuk semangat patriotisme dalam kalangan warganya, malah kepada penduduk sekitar.
Guru Tabika Taman Sri Lambak 1, Anizah Ahmad Apandi berkata, usaha itu bukan perkara baharu dilakukan pihaknya malah bermula sejak lima tahun lalu dengan sokongan hasil sumbangan ibu bapa murid dan wang tabung tadika.
“Kerja-kerja pemasangan Jalur Gemilang ini dilakukan secara gotong-royong antara ibu bapa dan guru tadika ini. Kami mendapat idea melalui hasil perbincangan sesama kami dan memilih untuk memenuhi Jalur Gemilang di segenap premis ini.
“Tujuan utama memasang Jalur Gemilang ini adalah semata-mata untuk memberikan pendidikan kepada murid sekolah ini mengenai cara sebenar memasang dan menghormati bendera yang menjadi panji negara,” katanya ketika ditemui semalam.
Menurut Anizah, pihaknya tidak mahu melepaskan peluang untuk bersama sama menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan 2020 pada 31 Ogos ini meskipun negara dan dunia amnya dibelenggu dengan pandemik Covid-19.
“Walaupun tahun ini tiada sebarang pertandingan diadakan antara sekolah tabika kerana ancaman virus ini namun ianya bukan penghalang mengibarkannya apatah lagi dalam suasana sambutan Hari Kebangsaan yang sepatutnya diraikan oleh seluruh rakyat negara ini.
“Diharapkan dengan pemasangan Jalur Gemilang ini secara tidak langsung membangkitkan semangat keseluruhan penduduk di taman ini untuk sama mengibar bendera kemegahan negara ini,” katanya. – UTUSAN