KANGAR: Para jemaah yang menunaikan solat di masjid dan surau di negeri ini masih perlu membawa sejadah sendiri bagi mengelak kemungkinan penularan wabak Covid-19.
Perkara itu diputuskan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah keputusan tersebut diambil setelah menilai keperluan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan keselamatan jemaah.
“Saiz sejadah hendaklah melitupi keseluruhan ruang solat setiap jemaah, dari tempat berdiri sehingga ke tempat sujud,” titah baginda menerusi satu kenyataan hari ini.
Malah baginda yang juga Yang Dipertua MAIPS, turut menggalakkan supaya penggunaan sejadah sendiri perlu dijadikan sebagai satu budaya baharu bagi mengekalkan kawalan kendiri yang tinggi tidak mengira tempat sama ada di tempat kerja, sekolah atau ketika bermusafir.
Selasa lalu, kerajaan bersetuju untuk tidak lagi mewajibkan individu yang ingin menunaikan solat berjemaah di masjid membawa sejadah sendiri tetapi pelaksanaannya tertakluk kepada pihak berkuasa agama negeri-negeri.
Namun begitu, penggunaan sejadah sendiri adalah digalakkan dan pemakaian pelitup muka masih diwajibkan.
Setakat semalam, terdapat sebanyak 9,291 jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di negara ini dan Perlis merekodkan 32 kes dengan pertambahan satu kes baharu, Selasa lalu. – UTUSAN