JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak lelaki terpaksa menahan kesakitan hampir 30 minit apabila jari manis kanan tersepit pada rantai basikal ketika bermain di rumahnya di Taman Mawar, Pasir Gudang di sini semalam.
Mohd. Syahim Mohd. Syawal, 5, dikatakan cuba mengeluarkan jarinya dengan bantuan keluarga termasuk menggunakan minyak, namun usaha itu gagal.
Jurucakap Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 11.44 pagi.
“Susulan itu, sebuah jentera pemadam (FRT) dengan kekuatan tujuh anggota bomba telah dikejarkan ke lokasi kejadian dan mendapati seorang kanak-kanak tersepit jari di rantai basikal semasa bermain.
“Anggota bomba kemudian bertindak mengeluarkan jari mangsa dengan memotong rantai basikal menggunakan peralatan khas ‘bolt cutter’,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, jari mangsa berjaya dikeluarkan dan dia tidak mengalami sebarang kecederaan. – UTUSAN