'Jangan silap fikir sertai MN untuk selamatkan kerusi' - Utusan Malaysia

‘Jangan silap fikir sertai MN untuk selamatkan kerusi’

MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Mana-mana parti yang ingin menyertai Muafakat Nasional (MN) mesti ikhlas dan memahami tujuan penubuhannya iaitu menjadi platform penyatuan serta perpaduan orang Melayu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sehubungan itu pihak terlibat janganlah fikir bahawa penyertaan mereka itu untuk menyelamatkan kerusi, kedudukan jawatan atau parti yang sedang berpecah.

“Sesiapa yang ingin menyertai MN mesti ikhlas dan faham apa tujuan MN wujud. Seperti kata Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa, MN ialah wadah penyatuan dan perpaduan orang Melayu supaya mereka menjadi teras politik nasional yang stabil.

“Jangan silap berfikir menyertai MN adalah untuk selamatkan kerusi, jawatan atau parti yang sedang berpecah daripada dalam. Sebab itu MN ada pengerusi bersama, bukan seorang pengerusi,” katanya dalam hantaran Facebook beliau di sini hari ini.

Semalam, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu bersetuju menyertai MN yang mendukung Perikatan Nasional (PN) sebagai gabungan besar.

Dalam masa sama, Mohamed Khaled menegaskan, Bersatu boleh menyertai MN namun kemasukannya janganlah digunakan pula untuk mendesak UMNO menyertai PN.

“Menjadi sebahagian dari MN sangat berbeza dengan menjadi sebahagian daripada PN,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN