‘Jangan hukum penjaja’ - Utusan Malaysia

‘Jangan hukum penjaja’

Sebahagian peniaga dan penjaja mendengar taklimat program Penyusunan Semula Peniaga dan Penjaja anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Dewan Meranti, Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor, semalam. – MINGGUAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Jangan terus menghukum kami kerana perniagaan sudah cukup terjejas.”

Itu rayuan peniaga, Noraziawati Arshad, 33, yang melahirkan rasa kecewa apabila perniagaan nasi lemak yang dijalankannya sejak 17 tahun lalu terpaksa ditutup.

NORAZIAWATI

Noraziawati adalah salah seorang daripada 80 peniaga yang hadir dalam program Penyusunan Semula Peniaga dan Penjaja Bandar Baru Sungai Buloh di Dewan Meranti bagi mendapatkan lesen sementara daripada Maj­lis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

“Dulu walaupun kami sering diberi notis, masih dibenarkan berniaga tetapi ekoran daripada video yang tular baru-baru ini, kami tidak lagi dibenarkan berniaga di kawasan tersebut.

“Diharap MBSA pertimbangkan untuk membenarkan kami berniaga di tapak yang sama sebelum ini kerana di situ kami mempunyai pelanggan tetap malah mereka juga sudah tahu lokasi perniagaan kami,” kata­nya ketika ditemui semalam.

Seorang lagi peniaga, Muhammad Nor Amirul Shah Moktar, 30, berharap tiada lagi sekatan daripada MBSA untuk dia menjalankan perniagaan selepas ini kerana untuk memohon lesen perniagaan sahaja mengambil masa yang lama.

MUHAMMAD NOR

“Kalau boleh, MBSA perlu menyaring setiap permohonan supaya tidak ada individu memperoleh lebih daripada satu tapak. Bagi juga peluang kepada orang lain untuk berniaga,” jelasnya.

Sementara itu, menerusi program tersebut, kesemua peniaga terbabit dibenarkan menjalankan semula perniagaan masing-masing selepas diberikan permit penjaja sementara serta mendapat penerangan per­aturan yang perlu dipatuhi.

Ahli Dewan Undangan Nege­ri (ADUN) Paya Jaras, Mohd. Khairuddin Othman berkata, program itu diadakan untuk membantu peniaga di Bandar Baru Sungai Buloh yang terjejas susulan operasi bersepadu yang dijalankan MBSA, Rabu lalu.

“Fokus kita untuk memberikan kefahaman kerana masih ada peniaga kecil berasa bimbang dan takut untuk mendekati MBSA sedangkan MBSA sebenarnya mahu membantu tetapi barangkali mereka tidak mempunyai maklumat yang lengkap.

“Menerusi program ini diharap dapat memberi kefahaman kepada mereka, sekali gus membantu khususnya peniaga yang terkesan,” katanya dalam sidang akhbar semalam.

Dalam masa sama katanya, MBSA akan membantu mencari lokasi tapak perniagaan sesuai. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN