SHAH ALAM: Jabatan Kesihatan negerimengeluarkan sebanyak 162 notis kesalahan melibatkan pelbagai kesalahan dibawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 kepada pemilik premis dan pekerja premis dengan nilai tawaran kompaun sebanyak RM91,500.
Dalam Operasi Bersepadu Premis Makanan yang dijalankan serentak di daerah Kuala Langat dan Hulu Selangor semalam, jabatan itu turut mengeluarkan sembilan notis kesalahan melibatkan kesalahan di bawah Peraturan- Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 kepada pelanggan kerana telah merokok di premis makanan dengan nilaian tawaran kompaun RM2,250.
Pengarahnya, Datuk Dr. Sha’ari Ngadiman berkata, operasi tersebut melibatkan Unit Inspektorat dan Perundangan Jabatan Kesihatan negeri dengan kerjasama Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat dan Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Selangor.
“Kita memeriksa sebanyak 144 buah restoran dan kedai makanan dalam operasi tersebut.
Daripada pemeriksaan tersebut, kita telah mengarahkan 19 premis makanan ditutup iaitu 11 buah premis ditutup dibawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983.
“Lapan premis pula ditutup atas kesalahan tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dibawah Seksyen 18 (1)(f), Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
“Kesemua premis yang diarah tutup di bawah Akta Makanan 1983 telah diberi tempoh selama 14 hari untuk melakukan kerja-kerja pembersihan dan premis yang tidak mematuhi SOP PKPP diarah tutup selama tujuh hari,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, seramai 129 pegawai kesihatan dari seluruh negeri melakukan operasi yang turut disertai anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).
Dalam pada itu, Dr. Sha’ari berkata, pihaknya akan sentiasa mengadakan “Op Bersepadu Premis Makanan’ di seluruh negeri bagi memastikan pengusaha dan pengendali makanan serta orang ramai mematuhi peruntukan dibawah Akta Makanan Dan Peraturan-peraturan Makanan.
“Ini adalah bagi memastikan pelanggan mendapat makanan yang selamat selain perlu patuh terhadap SOP PKPP supaya dapat membendung dan memutuskan penularan Covid-19,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE