'Islam Memacu Kemakmuran' agenda Johor - Utusan Malaysia

‘Islam Memacu Kemakmuran’ agenda Johor

MOHD. Tahrir Samsuddin bersama isteri, Datin Husnul Khotimah Moh Abdullah serta keluarga selepas majlis Sambutan Maal Hijrah 1442 Peringkat Negeri Johor di Pusat Iskandar Johor hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Gagasan ‘Islam Memacu Kemakmuran’ merupakan agenda Kerajaan Negeri Johor di dalam usaha menegakkan syiar Islam secara berhikmah dan menyeluruh.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, agenda itu bukan sahaja merangkumi soal Fardu Ain, malah meliputi aspek governans, ekonomi, pendidikan dan kesejahteraan rakyat.

Ujar beliau, pihaknya mahu masyarakat Johor dicorakkan mengikut prinsip Islam dengan tidak menjadikan sistem sekular barat sebagai panduan utama.

“Misalannya kita harus melihat prinsip Islam terhadap penyelesaian kesenjangan pendapatan kerana dianggarkan 34,392 isi rumah di Johor berada dalam kategori kemiskinan mutlak.

“Sebanyak 1,759 isi rumah berada dalam kemiskinan tegar manakala 134,533 isi rumah lagi berada dalam kemiskinan relatif, maka asas Islam perlu dilihat terhadap penyelesaian ini,” katanya ketika berucap dalam majlis Sambutan Maal Hijrah 1442 Peringkat Negeri Johor di Pusat Iskandar Johor di sini hari ini.

Yang hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi dan Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad.

Oleh demikian, Hasni menambah, kerajaan negeri akan menggunakan agenda ‘Islam Memacu Kemakmuran’ di dalam dasar dan pendekatan kerajaan.

“Umpamanya dalam governans kerajaan Johor, harus kita sandarkannya dengan nilai amanah pada tahap tertinggi kerana ia adalah nilai yang sangat penting dalam sistem governans Islam.

“Selain itu, kita akan perkasakan sistem pengurusan wakaf dan infak dengan penggunaan big data (data terbuka) dan artificial intelligence (kecerdasan buatan).

“Demikianlah antara cara yang akan kita gunakan untuk memastikan Agenda Makmur Johor itu selari dengan nilai-nilai Islam,” ujarnya.

Dalam majlis itu, bekas Mufti Johor, Datuk Mohd. Tahrir Samsuddin diumumkan penerima Anugerah Maal Hijrah Tahun 1442H Peringkat Negeri Johor.

Selain itu pembantu tadbir, Nur Salina Pei Abdullah, 32, diumumkan sebagai penerima Anugerah Maal Hijrah Saudara Kita manakala Orang Asli Jakun, Yusri Abdullah, 40, pula diumumkan penerima Anugerah Maal Hijrah Orang Asli. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya