KUALA LANGAT: Hasrat murni seorang anak muda yang ingin membantu masyarakat dengan menjual ‘ikan rakyat’ pada kadar 50 sen seekor berhasil apabila jualannya mencecah 150 kilogram bagi tempoh satu jam.
Azri Ahmad, 33, berkata, dia menjual pelbagai jenis ikan yang dibuka di Pasar Borong Ikan Segar Lima Kupang, Bandar Saujana Putra, Jenjarom di sini.
Antara jenis ikan dijual pada harga 50 sen seekor itu adalah kembung, mambong, pelaling, selayang, cencaru dan selar.
“Saya bersyukur niatnya untuk menjual pada harga murah mendapat sambutan hangat.
“Semua ikan segar yang beratnya kira-kira 1,000 hingga 1,500 kilogram dijual harga sama untuk pelanggan setiap hari.
“Untuk pembukaan hari ini (semalam), dalam tempoh empat jam sahaja, ‘ikan rakyat’ yang berjaya dijual sebanyak 600 kilogram,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Azri berkata, pelanggan tidak perlu risau dengan kualiti ikan kerana diambil secara terus dari Jeti Kuala Muda, Kedah, Jeti Pantai Remis, Perak dan Jeti Sekinchan, Selangor.
“Harga jualan di sini lebih murah berbanding kedai dan pasar borong kerana diuruskan sepenuhnya tanpa menggunakan khidmat orang tengah.
“Kami menjual hampir 20 jenis ikan dengan harga borong bagi membantu golongan yang ingin menjimatkan wang mereka.
“Selain ikan, premis kami dibuka pukul 7 pagi hingga 7 malam ini juga menjual ayam, ketam, udang dan kerang,” ujarnya.
Seorang pembeli, Sarifah Ibrahim, 42, berkata, harga ikan tersebut sememangnya lebih murah berbanding pasar borong.
“Saya biasa beli ikan sardin di tempat lain RM12 sekilogram. Di sini, saya dapat dua kilogram pada harga RM13,” katanya. – UTUSAN