KUALA PILAH: Seorang ibu tunggal mengharapkan sumbangan orang ramai bagi meringankan beban ditanggung setelah anak lelakinya berusia 16 tahun disahkan menghidap barah saraf tunjang tulang belakang sejak tahun lalu.
Nurul Adura Roslan, 40, dari Kampung Gedang, Terachi, dekat sini menjelaskan, sejak mengetahui Muhammad Ilman Farhan menghidap kanser tahap tiga itu, kehidupannya turut berubah kerana perlu memberi perhatian sepenuhnya kepada anaknya.
“Sebelum ini, saya bekerja di sebuah syarikat kurier namun terpaksa berhenti kerja kerana perlu berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan untuk Ilman.
“Saya ada mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM270 sebulan dan pihak Baitulmal juga ada menghantar bantuan katil dan peralatan perubatan namun, masih tidak mencukupi untuk menampung kos rawatan dan kos ulang alik dari rumah ke hospital,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Jelas Nurul Adura lagi, dia dan ibunya, Kamaliah Ahmad, 64, bergilir-gilir menjaga Muhammad Ilman kerana anaknya tidak mampu berjalan sejak beberapa bulan lalu.
“Saya dan ibu perlu menjaga Ilman memandangkan dia lumpuh kedua-dua kaki dan tidak boleh menguruskan diri sendiri. Saya berharap ada pihak dapat menghulurkan sumbangan bagi mengurangkan kesulitan yang ditanggung.
“Malah, ibu saya turut membantu dengan bekerja sebagai pembantu kedai makan berdekatan untuk menampung keperluan di rumah ini,” katanya.
Nurul Adura menjelaskan, sejak disahkan menghidap kanser, anaknya itu juga sudah tidak lagi bersekolah.
“Pada penghujung tingkatan dua, dia ada mengadu kencingnya tidak lawas dan sukar untuk kencing, ada kalanya dia tidak sedar yang dia sudah membuang air.
“Ketika menghantar dia ke hospital, doktor mengesahkan ada tumor dekat belakang pinggang dia dan perlu menjalani pembedahan segera sehingga kedua-dua kakinya kelihatan semakin lemah dan kini lumpuh,” katanya.
Orang ramai yang ingin memberikan sumbangan boleh menyalurkannya menerusi akaun CIMB 7617766831 atau menghubungi Nurul Adura menerusi talian 016-3648436. – UTUSAN