MELAKA: Sebanyak 154 kenderaan yang disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri dibuka untuk lelongan kepada orang ramai di JPJ Bukit Katil, Melaka pada 2 September ini.
Pengarahnya, Muhammad Firdaus Shariff berkata, proses lelongan membabitkan 100 buah kereta, motosikal (47), lori (empat) serta dua buah van itu akan bermula pada pukul 9.30 pagi.
Menurut beliau, antara kenderaan tersebut adalah sebuah Honda Stream tahun 2007 dengan nilai pasaran RM50,000 tetapi ditawarkan pada harga permulaan bidaan sebanyak RM10,175.
“Semua kenderaan yang akan dilelong ini disita sejak 2011 sama ada ketika operasi JPJ, pemilik menyerah diri atau ditahan.
“Kenderaan yang akan dilelong ini termasuk 100 kenderaan klon, kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kenderaan utiliti sukan (SUV) dengan nilai anggaran jualan RM1 juta,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat JPJ negeri di Bukit Katil semalam.
Menurut Muhammad Firdaus, antara kenderaan dijangka menjadi pilihan adalah Subaru, Honda Stream, Honda City dan Toyota Wish selain motosikal Yamaha Y15 dan KTM Duke 200 cc.
Mengulas lanjut, beliau berkata, harga rizab bagi motosikal Yamaha Y15 tahun 2016 adalah RM1,950 manakala KTM Duke 200 cc pula RM600.
“Pembida yang berminat untuk membida mana-mana kenderaan perlu membeli naskhah dokumen lelongan daripada kami dengan harga RM100,” katanya.
Tambah beliau, dokumen lelong tersebut akan dijual bermula pukul 8.30 pagi hingga 5 petang pada 17 Ogos hingga 28 Ogos di JPJ Bukit Katil.
“Semua kenderaan akan dipamerkan untuk pemeriksaan awam pada 24 dan 25 Ogos bermula pukul 9 pagi hingga 4 petang.
“Pembida yang berminat boleh membawa salinan kad pengenalan dan dikehendaki membayar deposit sebanyak RM2,000 secara tunai sewaktu pendaftaran,” katanya. – UTUSAN