TEMERLOH: Sejak menoreh getah ketika usia 15 tahun, seorang wanita dari Kampung Galok Kecil di sini tidak pernah merasai kesusahan seperti dilalui ketika ini.
Harga komoditi itu jatuh ke pada paras bawah RM2 sekilogram manakala harga barang pula melonjak.
Nor Azizah Nordin, 52, berkata, selama 37 tahun mencari rezeki dengan menoreh, ini kali pertama dia berasa sangat terbeban.
“Dulu pun teruk juga harga getah tetapi barang-barang keperluan murah. Sekarang ini harga getah teruk, harga barang pula terlalu mahal.
“Pendapatan saya bawah RM500 sebulan. Hendak dapat RM500 cukup payah dan ia bergantung pada harga getah. Dengan duit itu saya kena berjimat untuk perbelanjaan harian dan tiga anak yang masih bersekolah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Harga getah di pasaran sejak awal tahun ini sekitar RM1.80 sekilogram dan paling rendah, RM1.60 sekilogram.
Nor Azizah berkata, dia dan suami, Muhamad Izaini Md Sabudin, 32, menyara keluarga dengan hasil getah namun suaminya ketika ini tidak dapat membantu menoreh kerana sakit jantung.
“Kami berharap sangat-sangat supaya kerajaan dapat menaikkan harga getah antara RM3 hingga RM4 sekilogram,” katanya.
Seorang lagi penoreh getah yang juga ibu tunggal, Rusnani Mad Sohor, 56, berkata, dia turut menghadapi masalah sama kerana pendapatannya sekitar RM250 sebulan.
“Saya mula menoreh ketika darjah lima. Dulu tidaklah susah seperti sekarang masih boleh lagi bernafas dengan harga lebih RM2 sekilogram.
“Saya terpaksa buat kerja lain untuk menambah pendapatan seperti menjual sayur-sayur kampung,” kata ibu kepada 12 anak itu. – UTUSAN ONLINE