ARAU: Mencecah RM30 sekilogram. Itu harga pasaran semasa cili merah yang dikatakan berpunca kekurangan bekalan bagi menampung permintaan tinggi di negeri ini.
Kenaikan mendadak sehingga sekali ganda itu dikatakan berlaku sejak awal bulan lalu sejurus selepas kerajaan melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain faktor pemborong masih tidak dapat mengimport barang basah itu dari Thailand.
Seorang peniaga pasar pagi di sini, Farizal Rawi, 34, berkata, dia tidak ada pilihan selain menjual cili merah itu pada harga RM30 sekilogram memandangkan modalnya sahaja antara RM22 sehingga RM28.
Katanya, harga itu menyebabkan dia hanya mengambil bekalan barang basah tersebut sekitar lima kilogram sehari.
“Masalah kekurangan bekalan cili merah menjadi punca kenaikan harga. Lagi pun pemborong masih tidak boleh import cili merah dari Thailand berikutan pandemik Covid-19 menyebabkan kita hanya bergantung kepada bekalan cili tempatan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Seorang lagi peniaga, Buhari Ibrahim, 40, berkata, dia tidak berani menjual cili merah kerana harga terlalu tinggi sekali gus bakal membebankan pengguna.
“Sebelum ini, harga cili merah sekitar RM15 sekilogram dengan modal hanya RM10 (sekilogram). Tak berani saya hendak jual, harga sekarang terlalu tinggi,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Azizan Sulaiman yang melakukan tinjauan di Pasar Besar Arau dan pasar pagi di sini berkata,
masalah kekurangan bekalan menjadi antara punca kenaikan harga itu. – UTUSAN ONLINE