Hanya berpeluang tengok mendiang bapa - Utusan Malaysia

Hanya berpeluang tengok mendiang bapa

LEE XIAO HOON bersama bapa saudaranya di Muar, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Meskipun terkilan tidak sempat bertemu bapanya semasa hidup, namun seorang gadis yang merupakan pesakit dalam pemantauan (PUS) berpeluang menatap wajah ayahnya ketika menjalani tempoh kuarantin.

Lee Xiao Hoon, 30, yang dikuarantin di Johor Bahru telah dibawa melihat jasad bapanya di kediaman mereka di Parit Unas di sini sebelum urusan pengkebumian dijalankan di tanah perkuburan Pagoh Fairy Park.

Bapa saudaranya, Datuk Koh Kim Toon, 68, berkata, Xiao Hoon yang bekerja di Singapura telah memohon untuk pulang ke Malaysia pada 7 Ogos lalu sebelum diwajibkan menjalani tempoh kuarantin 14 hari bermula daripada tarikh berkenaan.

“Anak buah saya telah meminta waktu pelepasan kerja lebih awal setelah ahli keluarganya memaklumkan kesihatan bapanya, Lee Kiok Lie semakin merosot.

“Xiao Hoon yang ketika itu berada di Singapura segera pulang untuk bertemu bapanya semasa hayat selepas tidak berpeluang balik ke Malaysia sejak pandemik melanda,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Kim Toon berkata, Kiok Lie, 65, yang bekerja sebagai jurujual disahkan meninggal dunia pada 11 Ogos lalu selepas kesihatan akibat penyakit paru-paru yang dihidapinya semakin merosot.

“Kami sekeluarga usahakan pelbagai cara bagi membantu Xiao Hoon untuk pulang pada hari pengebumian bapanya. 

“Walaupun kedua beranak ini tidak sempat bertemu semasa hayat, namun kami bersyukur kerana Xiao Hoon sempat memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang ayahnya.

“Saya berterima kasih kepada usaha pihak Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna, Dr Chong Fat Full yang bertungkus lumus membantu urusan permohonan.

“Walaupun Xiao Hoon tidak sempat melihat bapanya semasa hidup, tapi pertemuan ini tetap memberikan makna besar untuk kami sekeluarga meskipun dalam masa singkat,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN