JOHOR BAHRU: Satu laporan polis dibuat terhadap pemilik kedai kenderaan terpakai di Jalan Kebun Teh di sini kerana menghalang tugas anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).
MBJB dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya juga membuat satu lagi laporan polis ekoran penyebaran video tular yang tidak tepat di laman sosial.
Menurut kenyataan itu, laporan polis berkenaan dibuat susulan operasi kenderaan halangan yang dijalankan pihaknya pada 17 Ogos lalu.
“Semasa operasi dijalankan, pemilik premis tidak berpuas hati dengan tindakan ke atas kenderaan jualannya dengan membuat provokasi serta memaki hamun anggota yang bertugas.
“Operasi tersebut dibuat susulan aduan awam tentang kesesakan lalu lintas di sekitar Jalan Kebun Teh.
“Berdasarkan siasatan, punca utama kesesakan disebabkan kenderaan ibu bapa yang mengambil anak pulang ke sekolah dan kehadiran kenderaan jualan yang diletakkan di sekitar bahu jalan,” jelas kenyataan itu.
Dalam operasi berkenaan, sebanyak 14 kompaun dikeluarkan manakala empat kenderaan ditunda di bawah peruntukan Akta 133 Jalan, Parit dan Bangunan dan Undang-Undang Kecil Mencegah Kekotoran MBJB 1981 Pindaan 2014 (6)(i)(g).
MBJB turut memaklumkan, kenderaan yang ditunda semasa operasi dihantar ke stor dan tuntutan dibenarkan dengan syarat pemilik perlu membuat surat akuan sumpah untuk tidak melakukan kesalahan sama.
“Ini kerana pemilik premis berkenaan kerap melakukan kesalahan sama walaupun tindakan diambil dan peringatan diberi beberapa kali.
“Penguatkuasaan ini dijalankan secara berterusan termasuk atas kesalahan
berniaga tanpa lesen dan pelan ubah tambah bangunan tanpa kelulusan serta kesalahan lain yang bertentangan dengan Undang-Undang MBJB,” tambah kenyataan itu. – UTUSAN ONLINE