KUALA LUMPUR: Ericsson mengumumkan pelantikan David Hägerbro sebagai Ketua Ericsson Malaysia, Sri Lanka & Bangladesh dan Unit Pelanggan Global Axiata.
Sebelum ini, Hägerbro merupakan Ketua Strategi, Teknologi & Hubungan Kerajaan & Industri untuk Asia Tenggara, Oceania dan India.
Ketua Ericsson Asia Tenggara, Oceania dan India, Nunzio Mirtillo berkata, Pasaran Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh adalah pasaran utama Ericsson.
“Kami sentiasa komited menyokong usaha pelanggan-pelanggan kami bagi menyampaikan manfaat kesalinghubungan yang sepenuhnya dalam pasaran berkenaan dengan menggunakan teknologi terkini.
“Sebagai ketua eksekutif berpengalaman di Ericsson, Hägerbro memiliki rekod cemerlang dalam memimpin dan membangunkan perniagaan Ericsson di seluruh rantau ini. Saya yakin beliau berupaya memenuhi komitmen Ericsson dalam pasaran ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Hägerbro mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang kepimpinan serta teknologi dan telah menyertai Ericsson pada 2008.
Beliau pernah memegang pelbagai jawatan dalam bidang jualan, pengurusan, teknologi, strategi dan hubungan kerajaan serta menerajui dan membangunkan dengan jayanya perniagaan di pelbagai negara termasuk Sweden, Indonesia, Malaysia dan India.
Mengulas pelantikannya, Hägerbro berkata: “Saya tidak sabar untuk bekerja lebih rapat bersama pelanggan dalam pasaran kami dengan membawakan penyelesaian dan teknologi terkini bagi menyokong kejayaan perniagaan mereka.” – UTUSAN ONLINE