BERA: Seorang guru wanita nyaris maut selepas kereta dipandunya hilang kawalan dan terbakar setelah melanggar seekor kerbau di Kilometer 38 Jalan Temerloh-Melati di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mansor Samsudin berkata, kejadian kira-kira pukul 6.47 pagi itu berlaku ketika Norpamela Muhamad Mohtar, 39, yang memandu kereta jenis Honda City dalam perjalanan dari arah Temerloh.
“Apabila tiba di tempat kejadian, tiba-tiba seekor kerbau melintas jalan arah kiri ke kanan jalan.
“Kerana sudah terlalu dekat, pemandu tidak sempat mengelak dan melanggar kerbau tersebut menyebabkan keretanya hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kanan jalan serta terbakar,” katanya di sini hari ini.
Menurut Mansor, mangsa sempat keluar sebelum kenderaan itu terbakar dan tidak mengalami kecederaan.
Katanya, siasatan awal mendapati tempat kejadian adalah jalan lurus berturap dan semasa kejadian cuaca cerah dan permukaan jalan kering.
“Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati melalui jalan yang berselekoh, gelap dan ada haiwan agar dapat mengelakkan sebarang kemalangan.
“Penternak pula hendaklah kurung haiwan ternakan mereka supaya tidak membahayakan pengguna jalan raya,” katanya. – UTUSAN ONLINE