KUALA KANGSAR: Seorang lelaki warga Thailand dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk mengutip derma.
Hakim Rohaida Ishak menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh, Muhammad, 29, mengaku bersalah setelah pertuduhan terhadapnya dibacakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa gagal mematuhi syarat-syarat pas lawatan sosial dengan mengutip derma secara haram di kaki lima Maybank Sungai Siput pada 6 petang 4 Ogos lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 yang boleh dihukum denda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Hasyutantee Khalil manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Hasyutantee memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal namun tertuduh memohon agar dikenakan hukuman penjara yang paling ringan.
Rohaida kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama enam bulan bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 4 Ogos lalu. – UTUSAN