Guan Eng tidak mengaku salah - Utusan Malaysia

Guan Eng tidak mengaku salah

LIM Guan Eng dibawa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk didakwa berhubung kes bersangkutan projek terowong dasar laut Pulau Pinang di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan meminta rasuah berhubung projek terowong bawah tanah.

Menurut pertuduhan, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP meminta rasuah daripada keuntungan yang bakal diterima oleh Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli sebanyak 10 peratus.

Rasuah yang diminta atas kapasiti sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang adalah sebagai upah untuk membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di negeri itu.

Menurut laporan media, Zarul Ahmad merupakan Pengarah syarikat Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd. (ZCSB) iaitu syarikat yang diberi kepercayaan membina terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada Mac 2011 berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut tertuduh berdepan dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Guan Eng juga akan menghadapi dua pertuduhan serupa di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang minggu hadapan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Semalam, Guan Eng ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selesai proses akhir siasatan kes terowong dasar laut Pulau Pinang bernilai RM6.341 billion. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN