KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur kira-kira pukul 9.15 pagi ini.
Setiausaha Agung DAP itu akan menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 16 a (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Terdahulu, Guan Eng dibawa keluar dari Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada pukul 8.35 pagi.
Beliau yang kelihatan menaiki Proton X-70 diiring keluar oleh enam kereta lain termasuk dua unit motosikal dan kereta peronda Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Setiausaha Agong DAP itu ditahan SPRM selepas selesai proses akhir siasatan kes terowong dasar laut Pulau Pinang bernilai RM6.34 billion.
Menerusi kenyataan akhbar semalam, SPRM turut memaklumkan telah mendapat izin mendakwa daripada Peguam Negara bagi menuduh Guan Eng berhubung kes tersebut pada pagi ini dan 10 Ogos depan di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang bawah akta sama.
Selain itu, Guan Eng juga dimaklumkan akan didakwa di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang di bawah akta sama pada 11 Ogos ini bagi kes berlainan.
Beliau yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang ditahan kira-kira pukul 9.30 malam semalam selepas hadir memberikan keterangan berhubung kes tersebut. -UTUSAN ONLINE