PENDANG: Seorang graduan dari Politeknik Ungku Omar, Ipoh, Perak yang dahulunya ceria dan aktif kini hanya mampu terlantar akibat serangan strok sejak April lalu.
Nur Atiqah Noor Azman, 22, yang tinggal di Kampung Asam Jawa, Padang Pusing di sini tidak mampu bergerak selepas sedar daripada koma akibat pembedahan membuang darah cair dan tempurung kepala sebelah kiri.
Menurut ibunya, Latifah Abd. Razak, 49, berkata, penyakit anaknya itu mula dikesan pada Jun tahun lalu selepas mulutnya menjadi herot secara tiba-tiba.
“Nur Atiqah kemudian menjalani Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan doktor mendapati terdapat kesan darah beku di belakang kepalanya.
“Sejak itu, anak saya diberikan ubat cair darah dan perlu menjalani rawatan susulan di hospital setiap minggu sehinggalah dia tidak sedarkan diri pada 9 April lalu sebelum menjalani pembedahan,” katanya di sini semalam.
Menurut Latifah, Nur Atiqah atau lebih mesra dipanggil ‘kakak’ sepatutnya sudah bekerja selepas menamatkan pengajian dalam jurusan Diploma Teknologi Maklumat di Politeknik Ungku Omar, Ipoh.
“Namun, sekarang semuanya sudah berubah, kakak kini bergantung kepada susu khas dan terpaksa minum melalui tiub,” ujarnya.
Selain itu, Latifah memberitahu, dia memerlukan perbelanjaan kira-kira RM1,500 untuk membeli susu khas, lampin pakai buang dan cecair merbersihkan kahak anaknya.
“Suami saya menoreh getah dengan pendapatan RM400 sebulan, selain melakukan kerja-kerja lain termasuk mengambil upah memotong rumput dan menyembur racun di sawah bagi menampung perbelanjaa kami,” katanya.
Bagaimanapun katanya, dia berasa sedikit lega apabila mendapat bantuan kewangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Lembaga Zakat Negeri Kedah.
Orang ramai yang mahu menghulur sumbangan kepada Nur Atiqah, boleh menghubungi talian 019-4079829. – UTUSAN