KOTA TINGGI: Kumpulan penjenayah yang aktif mencuri motosikal di daerah ini dikenali sebagai ‘Geng Man Halil Waha’ tumpas dengan penangkapan empat anggotanya.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, tangkapan pertama dilakukan pada 29 Julai lalu melibatkan tiga lelaki tempatan berusia di antara 17 dan 32 tahun.
Jelasnya, bertindak atas maklumat, satu lagi tangkapan dilakukan membabitkan lelaki tempatan berusia 17 tahun di Kota Kechil, Kota Tinggi.
“Hasil soal siasat ke atas empat lelaki tempatan tersebut, kita berjaya merampas 18 rangka motosikal pelbagai jenis membabitkan nilai RM120,000 di Felda Bukit Waha.
“Kumpulan ini dikenali sebagai ‘Geng Man Halil Waha’ yang aktif sejak Januari 2020. Modus Operandi geng ini mencuri kenderaan menggunakan kunci khas yang telah diubahsuai untuk menghidupkan motosikal,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Menurut Hussin, menerusi tangkapan itu, pihak polis berjaya menyelesaikan 30 kes curi motosikal di daerah ini.
Polis juga mendapati mereka terlibat dalam kes-kes kecurian motosikal di daerah bersempadan dengan Kota Tinggi termasuk Johor Bahru.
“Kesemua tangkapan masih dalam siasatan polis dan direman sehingga 18 Ogos ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.
Tambah Hussin, semakan turut mendapati tiga dari suspek mempunyai rekod lampau kes jenayah dan dadah.
“Pihak polis masih mengesan tiga individu yang dikenal pasti terlibat dan bersekongkol dengan kumpulan ini.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap pelaku jenayah dengan pertuduhan di mahkamah serta tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959,” katanya. – UTUSAN