GERIK: Rakaman video yang tersebar dalam media sosial memaparkan kejadian seekor gajah mengamuk dengan memijak sebuah kereta, dipercayai berpunca daripada tindakan pengguna kenderaan membunyikan hon.
Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 8 malam kelmarin berhampiran Hentian Rawat dan Rehat (R&R) Puncak Banjaran Titiwangsa, dekat sini.
Bagaimanapun, kejadian hanya membabitkan kerosakan kenderaan dan tidak melibatkan kemalangan jiwa.
Lima individu yang dikatakan menaiki kereta berkenaan dapat menyelamatkan diri.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Zulkifli Mahmood ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri, Yusoff Shariff berkata, pihaknya menghantar kakitangan ke kawasan kejadian untuk menghalau haiwan tersebut dan membuat pemantauan hingga pagi ini.
Menurutnya, kawasan kejadian memang terdapat kumpulan gajah.
“Pengguna jalan raya di laluan berkenaan diingatkan tidak membuat provokasi yang boleh menyebabkan gajah berasa diancam seperti membunyikan hon dan memasang lampu tinggi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini. – UTUSAN ONLINE