Enam nelayan langgar syarat lesen ditahan - Utusan Malaysia

Enam nelayan langgar syarat lesen ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah menahan enam nelayan tempatan bersama dua bot kerana menangkap ikan di kawasan larangan hari ini.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, bot pertama ditahan dalam operasi pada pukul 2.51 pagi membabitkan sebuah bot pukat tunda kelas C bersama seorang tekong dan tiga kru warga tempatan berusia antara 41 tahun hingga 63 tahun.

Katanya, bot tersebut ditahan pada jarak lebih kurang 12 batu nautika dari muara Kuala Kedah.

“Tangkapan kedua pula melibatkan sebuah bot peranti bersama seorang tekong dan seorang kru warga tempatan berusia 32 tahun dan 42 tahun kira-kira pukul 4.51 pagi pada jarak lebih kurang 8.5 batu nautika dari muara Kuala Kedah.

“Kedua-dua bot tersebut disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 atas kesalahan melanggar syarat sah lesen kerana beroperasi di bawah 15 batu nautika dari pantai,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mahmad Faizal berkata, bot-bot tersebut bersama enam nelayan tempatan serta kira-kira 300 kilogram hasil tangkapan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut.

Tambahnya, Maritim Malaysia tidak berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang di perairan negara.

“Pengusaha-pengusaha bot nelayan tempatan diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan untuk mengelakkan tindakan diambil ke atas mereka,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya